Gangguan seksual merujuk kepada kelakuan seksual yang tidak diinginkan, tidak dipelawa atau tidak diminta. Terdapat banyak bentuk gangguan seksual.
- Gangguan lisan: kenyataan, komen, jenaka, bunyi atau pertanyaan yang menyinggung perasaan atau berunsurkan seksual
- Gangguan bukan lisan/isyarat: bermain mata yang keterlaluan, menjilat bibir atau memegang atau makan secara provokatif, isyarat tangan atau bahasa isyarat menandakan aktiviti seksual, menggoda secara berterusan
- Gangguan Visual: menunjukkan bahan lucah, melukis sketsa berunsurkan seks atau menulis surat atau teks yang berunsurkan seks.
- Psikologi: Jemputan atau cadangan yang berterusan untuk janji temi atau menjalankan hubungan intim.
- Gangguan fizikal: sentuhan yang tidak sesuai, menepuk, mencubit, menggosok, mengusap badan, memeluk, mencium, meraba dan melakukan serangan seksual
Akta Kerja 1955 (Pindaan 2012)
Gangguan seksual bermaksud apa-apa kelakuan seksual yang tidak diingini, sama ada secara lisan, bukan lisan, visual, isyarat atau fizikal, diarahkan kepada seseorang, yang bersifat menyerang atau memalukan atau menjadi ancaman kepada kesejahteraannya, yang timbul daripada dan semasa tempoh pekerjaannya
Seksyen 509 Kanun Keseksaan
Sesiapa yang berniat untuk menghina kehormatan mana-mana orang, menyebut apa-apa perkataan, membuat apa-apa bunyi atau isyarat, atau mempamerkan apa-apa objek, dengan niat agar perkataan atau bunyi tersebut didengar, atau isyarat atau objek itu dilihat oleh orang itu, atau memasuki privasi orang itu, boleh dihukum penjara sehingga lima tahun atau didenda atau kedua-duanya
Apa yang boleh anda lakukan jika anda diganggu secara seksual?
- Beritahu pelaku bahawa kelakuannya tidak diingini, dan anda mahu ia dihentikan.
- Bercakap dengan seseorang di sekolah, di tempat kerja/organisasi anda yang boleh membantu anda.
- Rekodkan butiran setiap kejadian, termasuk tarikh dan masa, lokasi, bagaimana perasaan anda, dan sebarang saksi.
- Sekiranya berlaku di sekolah atau di tempat kerja, buat surat aduan rasmi.