Mengandung pada usia muda atau sebelum nikah akan mempengaruhi mental dan emosi remaja dalam beberapa cara. Kehamilan remaja melibatkan kedua-dua pihak iaitu remaja hamil dan pasangannya. Remaja yang mengandung boleh mengalami keadaan kesihatan mental seperti :
- Kemurungan – Kemurungan bukan sahaja datang dari kehamilan tetapi juga bagaimana reaksi orang itu terhadap kehamilan. Ia juga boleh berterusan walaupun selepas melahirkan anak dan yang paling buruk boleh menjurus kepada bunuh diri dan mencederakan anaknya yang baru lahir.
- Kemurungan selepas bersalin - sejenis kemurungan yang boleh memberi kesan kepada wanita selepas melahirkan anak. Ianya boleh berlaku pada bila-bila masa dalam tahun pertama selepas melahirkan anak
- Isu harga diri – Disebabkan stigma sosial yang menimpa mereka, mereka merasa tidak selamat dan tidak berguna sebagai seorang individu,. menyebabkan mereka mengalami masalah pengangguran pada masa akan datang dan dalam membesarkan anaknya.
- Kerisauan melampau – Dia mungkin tidak mahu bercakap dengan orang lain atau keluar ke tempat awam kerana takutkan diskriminasi.
- Kemarahan – Kemarahan yang dirasakan oleh remaja ini boleh berlaku terhadap lelaki, ahli keluarga, anak dan masyarakat kerana memusnahkan potensinya untuk mempunyai kehidupan yang normal dan berjaya. Dia mungkin menyalahkan orang lain di atas keadaan yang sedang dihadapinya.